Monday, July 21, 2008

Kita Merancang dengan Cita-cita... Allah Merancang dengan cintaNya

Selawat dan salam buat Rasul Junjungan. Mari kita berkongsi pengalaman. Pengalaman mematangkan kita, menjadikan kita semakin dewasa, mempercepatkan proses pembelajaran. Dan minta maaf jika ia sedikit panjang...

Baitul Muslim

Telah menjadi lumrah pada pasangan yang baru berumah tangga, anak adalah sebuah hadiah yang dinanti-nanti bagi menyerikan lagi rumah tangga itu. Terutama kepada mereka yang didedahkan kepada konsep maratibul amal, kehadiran anak seakan-akan melengkapkan ”Baitul muslim” yang dibina.

Namun setelah hampir setahun, perut si isteri tidak juga membesar, ramai orang telah mula bertanya-tanya.
”Tak ada apa-apa lagi ke?”
Dan apabila jawapannya ... ”belum ada rezeki...” pelbagai spekulasi dan cadangan yang dilontarkan...
”orang senggugut memang susah nak mengandung...”
”awak aktif sangat... kurangkanlah keaktifan itu”
”jangan stress”
”cubalah ubat itu dan ini...”
Namun di hati ini Allah sahaja yang tahu. Sehingga, timbul rasa tidak mahu pulang ke kampung untuk mengelak dari ditanya soalan-soalan begini.

Bersungguh-sungguh...

Ya bila kita inginkan sesuatu, kita perlu bersungguh-sungguh. Bersungguh dalam berusaha ke arahnya, bersungguh dalam bersabar menghadapi ujian ke arahnya, dan bersungguh-sungguh dengan penuh kesungguhan dalam berdoa meminta dari Tuan empunyaNya.
Setelah hampir setahun, saya bertekad untuk bersungguh-sungguh...

Mulakan dengan istighfar....

Mungkin selama ini saya bermain-main dalam meminta. Astaghfirullah hal azim... masa untuk bersungguh-sungguh !

6 bulan sebelumnya, semua sukan lasak diberhentikan. Ya... ini adalah jihad yang sangat-sangat besar untuk seorang yang tidak boleh duduk diam....

Urutan tradisional diusahakan. Setiap hari, website seperti babycentre dan seangkatan dengannya dilayari. Body Basal Thermometer dibeli. Dan penjagaan fizikal, emosi, mental, dan hati dijaga dengan penuh hati-hati setiap hari setiap saat.

Istighfar adalah kunci...

Barangsiapa yang memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan membebaskannya dari kedukaan, dan memberinya jalan keluar dari kesempitannya dan memberinya rezeki tanpa diduga-duga.” (Hadith riwayat Abu Dawud dan Nasa’i)

Dalam salah satu ayat-Nya, Allah SWT berfirman, ''Maka aku (Nabi Nuh) katakan kepada mereka, 'Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan lebat kepadamu, membanyakkan harta dan anak-anak, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan sungai-sungai'.'' (QS 71: 10-12).

Nah... Al-Quran dah jelas, hadith juga ada... berimanlah dengan ayat ini. Setiap saat bulan itu dipenuhi dengan istighfar. Ada jelingan dari rakan-rakan waktu sedang buat presentatation, tapi pedulikan, istighfar sungguh-sungguh!


Hadiah ulang tahun pertama perkahwinan kami

Sedikit-sedikit perubahan dengan kehadiran orang baru dirasakan. Dimulakan dengan kemungkinan bladder infection (mungkin sbb tak jumpa dr. utk confirmkan), perubahan emosi, dan sedikit-sedikit fizikal mula berubah. Alahan pada bau dan beberapa makanan.

Ketika berita itu disampaikan kepada suami, matanya bersinar, senyumnya tersipu-sipu malu. Tidak pernah saya melihat dia tersenyum begitu. Alhamdulillah. Ini hadiah yang sungguh bermakna. Berita gembira ini disampaikan kepada kedua orang tua, dan rakan-rakan yang turut mendoakan.

Pelajaran pertama: Istighfar did works...

Kehadirannya tidak lama..


Tanggal Jumaat 13 Jun 2008, saya mula menyedari ada pendarahan. Malam itu juga kami ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Esoknya kami ke hospital lagi untuk berjumpa dengan Gynea. Alhamdulillah... foto pertama ”baby” kami diambil.
”Threatened abortion.” Kata Doktor.

Namun setelah pulang pendarahan semakin banyak. Malam itu, di dalam munajat... ”jika itu yang terbaik... permudahkan ia... jika ini bukanlah terbaik... ambillah dengan cara apa yang Kau suka... redhakanlah hati ini dengan segala ketentuanMu ya Allah...”

Keesokan harinya pendarahan makin bertambah. Menjelang tengah hari, sakit-sakit sudah dirasakan. Kami berangkat ke hospital. Tiba di hospital, saya tidak berdaya lagi.
”Beginikah sakitnya bersalin? Beginikah sakitnya mati?”
Segala yang dimakan, dimuntahkan semula. Tekanan darah turun mendadak 84/43.Air dimasukkan, Saya disuruh puasa... kemudian saya diusung masuk ke wad.

Alhamdulillah, keadaan saya beransur pulih. Malam itu Dr. mengesahkan pemergiannya.

Pengalaman pertama..

Pertama kali masuk hospital. Pertama kali diusung dengan katil dan kerusi roda. Pertama kali tidur berdua di katil hospital. Pertama kali mengandung... Pertama kali menghadapi kehilangan...

Pengalaman itu sungguh indah. Walaupun sekali sekala air mata terlinang, namun ia terasa manis sekali. Setiap minit dapat sms dari akhawat tidak kira yang tua atau muda. Kata-kata dorongan dan semangat. Senyum... kita tidak keseorangan....

Esoknya, saya dibenarkan keluar. Dalam perjalanan pulang saya tatap wajah suami yang menjaga dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. ”Semoga Allah merahmatimu...”. Sebelum sempat sampai ke rumah, kami ke Afaq, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Walaupun jawatan setiausaha program Karnival wanita itu seolah-olah telah dilepaskan, perjuangan perlu diteruskan.

Menghadapi ujian... Teladan kisah Ayyub..

Ya amat mudah untuk memperkatakan ini semua ujian. Tapi bagaimana kita merealisasikannya? SABAR!... semua orang suruh bersabar, tetapi bagaimana kita menghadapinya?

Ayyub ’alayhi al-Salaam diuji dengan penyakit yang menimpa tubuh badan. Penyakit yang bukan sahaja menjadikan fizikal baginda derita menanggungnya, bahkan ia membawa kehilangan harta benda dan ahli keluarga

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayyub ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata ”Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) penyakit tubuh badan dan azab penderitaan (shaad, 38: 41)

Kita diuji kerana kita HAMBANYA. Ini adalah alasan yang sangat konkrit. Seorang hamba berhak diperlakukan apa sahaja oleh TUANNYA. Allah bebas untuk menguji dalam apa saja bentuk ujian kepada hambaNya.

Teruskan berjuang..

Ini salah satu dari bentuk ujian perjuangan. Tidak terhad kepada kehilangan pekerjaan, kesusahan mendapatkan makanan seharian, dipenjarakan atau apa sahaja ujian ketakutan dan kesedihan akibat perjuangan. Kesakitan, keuzuran, dan keaiban, juga termasuk ujian perjuangan.

Perjuangan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah. Maka untuk menghadapinya, teruskan berjuang. Mungkin Allah belum mentakdirkan anak-anak dari zuriat sendiri untuk menghiasi medan daawah ini. Tetapi, berjuta anak-anak lain yang menagih seruan Ilahi agar mereka dapat merasa nikmat iman di dalam madrasah Allah ini.

As-Syahid Sayyid Qutb syahid tanpa meninggalkan zuriat, namun sehingga kini ribuan anak-anak soleh dan solehah yang bernaung di bawah Naungan Al-Quran. Ribuan anak-anak rabbani yang lahir sentuhan Fi Zhilalil Quran beliau. Dan selagi masih ada hati-hati yang tersentuh dengan tulisannya ini, selagi itulah beliau akan terus hidup.

Zuriat yang dinanti...

Bagi mereka yang belum dikurniakan zuriat. Jangan khuatir. Allah itu Maha Adil. Setiap yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat keredhaanNya setiap zarah itulah yang akan dikiraNya. Tidak tertinggal satu pun. Zuriat bukanlah satu-satunya cara seseorang untuk menuju kepada Allah. Walaupun ia adalah salah satu perkara yang boleh dibawa mati, namun itu bukanlah satu-satunya.

Kesungguhan, keikhlasan, dan thabat seseorang dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah itu yang akan dikira Allah. Baik kita seorang ibu, atau ayah, atau anak, atau isteri atau tidak ada apa-apa gelaran didunia ini sekalipun, namun kita tetap Hamba Allah. Dan selagi kita bergelar HAMBA ALLAH, selagi itulah kita akan bisa mendapat ganjaran seadanya walaupun kita tidak punya apa-apa di dunia ini. Walaupun tiada satupun cita-cita kita di dunia ini tercapai namun kita tetap bisa menuju pada Allah.

Kita merancang dengan Cita-cita... Allah Merancang dengan CINTANYA.