Thursday, September 18, 2008

Bisakah Hidup Tanpa Lelaki

Wahhh soalan yang penuh kontroversi dan sungguh lah berbau feminisme. Pasti saya akan ditawarkan untuk menjadi ahli Sisters In Islam atau mana-mana persatuan NGO yang memperjuangkan hak wanita. Ironinya, saya juga telah bersuami, dan saya memang tidak menafikan kepentingan beliau dalam hidup saya.

Namun tulisan di bawah bukanlah untuk menafikan kepentingan mereka. Jauh sekali untuk mengatakan perempuan mampu malakukan segala-galanya. Tetapi dalam banyak hal saya terpanggil untuk menulis mengenai topik ini, lebih-lebih lagi ia adalah satu masalah yang bernanah dan menjadi barah di dalam tarbiyyah.

Adik-adik yang disayangi...

Soalan ini lebih ditujukan kepada anda. Kalian yang telah menyediakan diri untuk disusun dan ditarbiyyah. Kalian yang membawa panji daawah. Kalian-kalian yang masih belum dipertanggungjawabkan untuk menjadi isteri. Kalian-kalian yang masih belajar. Belajar mengenal dunia... belajar mengenal manusia...

Dan tulisan ini tidaklah lainnya hanya kerana kasih sayang yang sungguh mendalam terhadap kalian, yang diharapkan dapat mengubah dunia, supaya matlamat ”sabbahalillah hi ma fis sama wa ti wal ard”(As-Saff:1) akan terealisasi.

Mereka telah aqil baligh

Pernahkah kita terfikir mengapa Allah menjadikan aqil baligh kepada manusia? Satu usia di mana manusia telah sepatutnya berupaya untuk memegang amanah jika tidak sebagai CEO sebuah syarikat, tetapi sekurang-kurangnya sebagai ibu dan bapa. Allah menetapkan organ seks manusia, dan naluri seks manusia berfungsi sepenuhnya ketika ini. Jadi, kita tidak sepatutnya terkejut apabila mengetahui nenek moyang kita sudah berkahwin di usia ini. Ketika kita masih lagi bermain lompat getah dan batu seremban, nenek moyang kita sudah disibukkan dengan anak yang inginkan belaian kasih dan suapan dari ibunya.

Tidak dinafikan, usia sekarang adalah usia paling kritikal. Kita telah terperangkap dalam satu sistem jahiliah yang amat menyibukkan, dan memakan lebih separuh dari masa seharian kita. Dan lebih malang lagi, sistem ini telah mengering kontangkan hati-hati kita sehingga di usia yang paling kritikal ini, di ketika jiwa-jiwa kita bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar, dan di kala gelojak nafsu minta dilunaskan fitrahnya ini, perasaan kita meronta-ronta mahukan belaian dari si dia yang bernama LELAKI.

Peritnya lagi apabila melihat rakan-rakan sekelas kita semua sudah ”berpunya”. Pedihnya lagi apabila kita terperangkap di situasi seorang lelaki nisbahnya empat perempuan. Sakitnya lagi apabila kita mengetahui rakan-rakan seperjuangan kita ada yang sudah bertunang, atau paling tidak golongan Cinta ENTA ENTI. Parahnya lagi apabila si dia tidak sudah-sudah menyatakan hasrat hatinya untuk ”menyunting” kita. Lebih menyakitkan lagi apabila kita tahu si dia adalah lelaki yang soleh. Barahnya lagi apabila ibu bapa kita telah merestui. Dan keperitan, demi kesakitan, demi kepedihan satu-satu mengguris hati ini kerana ia cuba menidakkan nafsu yang fitrah.

Akak macam mana????

Ini soalan yang selalu saya dapat dari adik-adik yg amat saya sayangi. Apabila soalan ini ditanyakan, berbagai perasaan barcampur baur. Sedih. Dan amat sedih. Seperti terasa mahu menjerit kepada Allah... ”Mengapa Kau uji mereka dengan INI????”

Jawapannya bukanlah straight to the point. Harus dilihat dengan teliti, harus diamat dengan begitu teliti, umpama menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung tidak berserakan.

Mari kita kongsi pengalaman…

Ini selalu menjadi ayat saya. Pelbagai pengalaman dari pelbagai latar belakang boleh dikongsi. Semenjak usia 18 tahun saya diuji satu demi satu dengan ujian ini. Tapi pengalaman yang ingin dikongsi ini bukanlah calang-calang pengalaman. Pengalaman yang dilalui manusia berusia 40 tahun, yang akhirnya telah membuatkan saya sedikit-sedikit mengenal kehidupan.

Di satu tengah hari, saya baru pulang dari kampung. Dan saya terus bercerita kepada ukhti-ukhti di rumah itu.

Akhirnya seorang kakak yang berusia 29 tahun, masih bujang, bersuara.

”Awak baru 21 tahun. Pernah tak awak terfikir bagaimana akak dan akak X bertahan sehingga kini?” Satu soalan yang meruntun jiwa. Kakak itu seorang guru agama, dan kakak X sedang menghabiskan tesisnya, dan kakak X berusia mencecah 40 tahun.

”Ya Allah aku ada contoh di depan mata. Mengapa aku tidak melihat.” Kakak X adalah teman sebilik saya semenjak saya masuk ke rumah itu.

“Satu-satunya sebab mengapa kami bertahan sehingga kini. Hanyalah Solat Malam” kakak Y berteori.

Dan semenjak itu, saya cuba memerhatikan. Dan saya mula untuk mengorek kisah dari kakak X. Sedikit demi sedikit mutiara yang kakak X beri. Satu demi satu cerita yang Kakak X kongsi.Ya Kakak X memang tidak pernah meninggalkan solat malamnya.

Ainul Yaqeen. Nampak dan yakin. Tapi hati ini masih gundah. Terutama bekerja di persekitaran majoriti lelaki, undangan menonton wayang hampir setiap hari, gossip gossip liar yang melata. Siapa tidak gundah?

Tapi ainul yaqeen tidak bermakna jika tidak dilaksanakan sendiri. Akhirnya saya cuba sedikit demi sedikit. Memang sangat susah. 15 minit sehari pun sangat sangat susah.

Namun, jika kita bersungguh-sungguh pasti Allah lebih bersungguh-sungguh dengan kita. Di Ramadhan 2005 itu, saya melakukan satu reformasi dan ternyata hati saya lebih tenang. Langkah saya lebih jitu. Matlamat saya lebih jelas. Saya tidak lagi goyah bila diajukan dengan soalan-soalan membunuh perasaan.

Lunaskan hak Allah...

Kekuatan hati, kekuatan langkah, kejituan azam dan semangat, semua ini hanya... saya ulang HANYA akan lahir dari Allah. Jika ada hak Allah yang berbaki, jika ada hak Allah yang masih belum kita lunaskan, jika ada hak Allah yang kita buat cincai. Ketika itulah kita terus kan diuji dengan ujian meruntun jiwa dan perasaan.

Jika kita mahu Allah selesaikan hak kita, tunaikan hak kita kepadaNya. Jika kita masih lagi diuji dengan ujian meruntun perasaan, itu tandanya ada lagi hutang Allah yang belum kita langsaikan. Selagi nyawa di kandung badan, selagi kita masih hidup di dunia ini, langsaikan cepat-cepat, kerana khuatir kita tidak sempat melangsainya dan kita akan dibangkitkan dengan golongan mereka yang lalai.

Di ketika hak Allah kita selesaikan, InsyaAllah Allah akan beri kita hak kita. Allah akan beri hati yang tidak takut dan tidak sedih... sebab kita adalah wali Alah. (Yunus:62) Jangan bazirkan masa, usia, dan perasaan kita dengan cuba menyelesaikan persoalan yang kita tidak bisa selesaikan. TUNAIKAN HAK ALLAH SEKARANG.

Ya Allah, kurniakan lah aku cinta Mu, dan cinta orang yang mencintaiMu, dan cinta amalan-amalan yang membawa aku kepada Cinta-Mu....